The Kuala Lumpur Major - Kejohanan Major DPC Pertama 2018/2019 Diumumkan Akan Berlangsung Pada Bulan November Ini

Musim Dota 2 Pro Circuit 2018/2019 akan bermula secara rasminya dengan pengumuman kejohanan bertaraf major pertama musim ini iaitu The Kuala Lumpur Major.

Sebanyak 16 pasukan akan menyertai kejohanan ini yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah USD1,000,000. Ia akan berlangsung pada 11 sehingga 18 November ini bertempat di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Lokasi yang terletak di Kuala Lumpur ini sudah pasti menarik lebih ramai peminat untuk menghadiri kejohanan ini.

Seperti mana yang diumumkan oleh Valve sebelum ini, kejohanan kejohanan di musim DPC 2018/2019 tidak akan menyertakan sebarang jemputan terus kepada mana mana pasukan. Sebaliknya, pasukan harus melalui pusingan kelayakan dan mana mana pasukan yang gagal melayakkan diri ke kejohanan bertaraf major, mereka boleh mencuba untuk melayakkan diri dengan memenangi kejohanan bertaraf minor yang akan diadakan sebelum berlangsung kejohanan bertaraf major. Jika anda masih kurang faham dengan perihal ini, maklumat lanjut mengenai struktur baharu ini boleh dibaca pada artikel mengenai DPC 2018/2019 yang telah kami sediakan sebelum ini.

Para peminat boleh menghadiri tiga hari terakhir kejohanan dengan tiket bermula pada harga RM180 sehingga RM600. Harga prajualan khas dengan diskaun sebanyak 20% juga ada disediakan kepada pelanggan Astro dan U Mobile. Bagi pelanggan umum pula, diskaun 10% akan diberikan kepada pembeli awal. Kejohanan ini dianjurkan oleh PGL, Imba dan EGG Network.

Ia turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara. Pengumuman rasmi kejohanan ini turut dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan dihadiri oleh Mushi dan xNova.

Layari : The Kuala Lumpur Major

Dikuasakan oleh Blogger.