Lagi Tuduhan Terhadap Riot Games - Kali ini Penggunaan Kata Kata Kesat Termasuk Perkauman Dan Homofobia Di Pejabat

Semalam Riot Games telah dituduh mengamalkan budaya seksisme yang mementingkan para pekerja lelaki berbanding dengan pekerja perempuan. Tuduhan tersebut hadir dari laporan laman web Kotaku yang telah melakukan siasatan selama lebih 5 bulan bermula pada penghujung tahun 2017 lalu.

Kini, seorang lagi bekas pekerja Riot Games, Meagan Marie tampil berkongsikan pengalaman beliau sepanjang bekerja di syarikat terbabit. Beliau menyertai Riot Games pada awal tahun 2014 dan kekal bersama syarikat terbabit selama 6 bulan. Menurut Meagan, sebelum menyertai Riot Games, beliau sudah mendengar ura ura tentang syarikat itu yang mungkin mempunyai budaya lebih mementingkan pekerja lelaki. Beliau ada melakukan sedikit pertanyaan terhadap bekas pekerja Riot Games namun akhirnya mengambil keputusan untuk bekerja disitu.

Di Riot Games, para pekerja digalakkan bermain permainan League of Legends sebelum mula waktu pekerja dan selepas tamat termasuk kadang kala sewaktu makan tengah hari. Di minggu pertama beliau bekerja di pejabat Riot Games di Dublin, terdapat jeritan para pekerja yang sedang bermain meluahkan kata kata kesat termasuk perkauman dan homofobia.

Ianya bagaikan perkara yang normal di situ, ujar beliau. Para pekerja lelaki juga sering melayan pekerja perempuan dengan kurang sopan seperti melakukan gurauan berbaur seksual dan merendahkan maruah wanita. Kelakuan mereka ini juga tidak terhad kepada pekerja, mereka turut sama bersikap tidak sopan dengan para peminat wanita termasuklah para cosplayer.

Jika perkongsian Meagan ini adalah benar, ia amat merisaukan kerana ia berlaku empat tahun yang lalu. Dengan laporan terbaru dari Kotaku, jelas bahawa masalah ini masih lagi terjadi dan sebagai sebuah syarikat permainan ternama, ia adalah amat membimbangkan. League of Legends mempunyai ratusan juta pemain dari seluruh dunia termasuklah pemain wanita. Jika ini adalah imej yang mahu ditampilkan oleh Riot Games, industri permainan akan kekal dipandang rendah oleh masyarakat.

Sumber : Reddit / Meagan Marie

Dikuasakan oleh Blogger.