OnFlame Umum After Five Gaming League (A5GL) - Kejohanan E-sukan Memfokuskan Golongan Pekerja

OnFlame hari ini mengumumkan penganjuran kejohanan Predator x Nvidia GeForce After Five Gaming League (A5GL) yang memfokuskan kepada golongan pekerja.

OnFlame memaklumkan bahawa kejohanan ini dirancang sebagai sebuah acara santai korporat bagi memberi pelang kepada para pekerja di negara ini untuk turut sama melibatkan diri di dalam arena kompetitif e-sukan tempatan.

Kejohanan ini akan melibatkan empat buah permainan iaitu Dota 2, FIFA 18, CSGO dan Mobile Legends Bang Bang. Para peserta yang bertanding di kejohanan ini akan mewakili syarikat masing masing. Tarikh tutup pendaftaran bagi acara Dota 2 dan FIFA 18 adalah pada 6 Julai manakala CSGO dan MLBB pula pada 20 Julai. After Five Gaming League (A5GL) ini bakal diadakan di The Pantheon dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.

Fokus OnFlame terhadap pekerja korporat ini dilihat amat menarik dan amat jarang didengar. Ini adalah kerana golongan pekerja kebiasaanya tidak mempunyai masa untuk diluangkan bermain permainan kegemaran mereka. Kejohanan ini juga dilihat mampu merapatkan lagi hubungan antara syarikat korporat dan industri e-sukan tempatan.

Penglibatan korporat di dalam arena e-sukan adalah amat dialu-alukan kerana sokongan mereka mampu mempercepatkan lagi pembangunan industri e-sukan tempatan. Syarikat penerbangan AirAsia merupakan salah satu syarikat korporat yang aktif melibatkan diri dan mempunyai kelab e-sukan tersendiri iaitu AirAsia Allstars Esports Club.

Kelab yang dibarisi pekerja AirAsia itu sering menyertai kejohanan kejohanan e-sukan tempatan. Future Lab juga sebelum ini telah mengadakan kejohanan Dota 2 Corporate vs Universities yang melibatkan syarikat syarikat seperti AirAsia, Petronas, Ernst & Young dan Astro.

Layari : Predator x Nvidia GeForce After Five Gaming League (A5GL)

Dikuasakan oleh Blogger.