AirAsia Diumumkan Sebagai Syarikat Penerbangan Rasmi WESG 2018 di Asean

Syarikat penerbangan AirAsia sekali lagi mempamerkan komitmen mereka di dalam arena e-sukan apabila secara rasminya diumumkan menjadi penaja utama World Electronic Sports Games (WESG) di Asean sebagai syarikat penerbangan rasmi.

Penajaan ini adalah hasil kerjasama antara AirAsia, Agri Mind Sdn Bhd dan Alisports, penganjur WESG yang juga merupakan cabang syarikat kepada Alibaba Group. Ia melibatkan tajaan dari segi penerbangan, nilai media dan hadiah wang tunai kejohanan tersebut.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun berkata, "AirAsia selaku sebuah syarikat digital yang inovatif, berbesar hati untuk menjadi penaja utama dan berharap untuk menyumbang kepada arena e-sukan dengan menyokong atlet-atlet e-sukan profesional di Asean untuk bersaing di kejohanan global."

AirAsia sebelum ini sudah aktif melibatkan diri di arena e-sukan tempatan dengan melakukan tajaan kepada pasukan Dota 2 Mineski dan pasukan Mobile Legends, Team Saiyan yang kemudiannya dijenamakan semula kepada AirAsia Saiyan. AirAsia juga mempunyai kelab e-sukan tersendiri yang dibarisi oleh para pekerja syarikat terbabit.

Sumber : AirAsia


Dikuasakan oleh Blogger.