BurNIng Dilaporkan Sedang Berusaha Menghidupkan Kembali Pasukan Lagenda - Team DK

Salah sebuah pasukan paling terkenal di arena e-sukan Dota 2, Team DK dilaporkan bakal kembali. Pada tahun 2014, dibarisi oleh pemain pemain terbaik Asia pada ketika itu seperti Xu "BurNIng" Zhilei, Chai "Mushi" Yee Fung, Daryl Koh "iceiceice" Pei Xiang, Zhang "LaNm" Zhicheng dan Lei "MMY!" Zengrong, pasukan tersebut merupakan pasukan paling digeruni.

Namun begitu, kegagalan merangkul Aegis of Champions di The International 2014 menyebabkan mereka akhirnya berpisah sebelum Team DK dibubarkan secara rasminya pada tahun 2015. Kini, BurNIng dilaporkan sedang berusaha untuk menghidupkan kembali pasukan lagenda tersebut dan sudah mulai mencari pemain.

Menerusi laman kumpulan peminat beliau, BurNIng telah berkongsikan bahawa beliau telah menubuhkan sebuah pasukan sementara bagi menguji para pemain untuk direkruit memasuki Team DK. Antara nama yang disenaraikan adalah bekas pemain Vici Gaming, Ou “Op” Peng, Xu “Hym” Zhi dan dua orang pemain muda iaitu  冷鸟(cold bird) dari pasukan Rock.Y dan Duta daripada pasukan Echo.

Namun begitu, beliau menegaskan tiada kata putus telah ditetapkan pada ketika ini dan lebih banyak  info  akan dikongsikan selepas berakhirnya kejohanan The International 2018 kelak. Sama sama kita nantikan perkembangan pasukan yang pernah digelar sebagai The Galacticos of Dota Scene ini.

Sumber : VP Esports

Dikuasakan oleh Blogger.