Taiwan Excellence Intercollege Battleground 2018 - Kejohanan E-sukan Antara Universiti Dengan Hadiah Sebesar RM130,000

Perkembangan e-sukan di peringkat institusi pengajian tinggi semakin rancak terutamanya semenjak akhir tahun 2017 lalu. Pelbagai kelab e-sukan ditubuhkan di universiti dan kolej serata Malaysia. Persatuan E-sukan Varsiti Malaysia sendiri telah ditubuhkan pada Januari lalu bagi menjadi platform yang menyatukan kelab kelab e-sukan di universiti dan kolej seluruh negara.

Kini, sebuah kejohanan e-sukan antara universiti, Taiwan Excellence Intercollege Battleground 2018 bakal dianjurkan tidak lama lagi. Melibatkan tiga permainan e-sukan terbesar didunia iaitu Counter Strike : Global Offensive, Dota 2 dan League of Legends, ia menawarkan hadiah sebesar RM130,000.

Kejohanan ini dianjurkan oleh Taiwan Excellence Malaysia, The Bureau of Foreign Trade, MOEA Taiwan dan Taiwan External Trade Development Council. Ia akan melibatkan 10 universiti dan kolej di Malaysia iaitu KDU University College, First City University College, Tunku Abdul Rahman University College, UCSI University, Southern University College, Multimedia University, Taylor's University, INTI International University & Colleges, HELP University dan Universiti Malaysia Sabah.

Pendaftaran bagi kejohanan ini adalah percuma dan peringkat kelayakan akan diadakan di universiti dan kolej yang terlibat bermula pada bulan April ini. Pusingan akhir kejohanan pula bakal dilangsungkan pada bulan Oktober kelak di The Pantheon, Subang Jaya.

Kemaskini : Pusingan kelayakan kini dibuka kepada kesemua pelajar universiti seluruh negara bermula dengan pusingan kelayakan HELP University pada 7 dan 8 April ini. Klik pautan ini untuk mendaftar.

Layari : Taiwan Excellence Intercollege Battleground 2018

Dikuasakan oleh Blogger.