SLTV Invitational 5 - Optic Gaming Juara, Vega Pamer Kebangkitan dan Adam Kembali Jadi Jurulatih

Pasukan dari Amerika Utara, OpTic Gaming akhirnya mencatat nama di papan pendahulu Dota 2 Pro Circuit dengan menjuarai kejohanan Dota 2 Minor StarLadder ImbaTV Invitational Musim Ke-5. Pasukan yang diketuai oleh Peter "ppd" Dager, kapten pasukan yang memenangi kejohanan The International 2015 itu menewaskan pasukan VGJ.Thunder pada perlawanan akhir yang berkesudahan dengan keputusan 3-1.

Walaupun kejohanan ini hanya disertai oleh sebuah pasukan dari senarai 8 pasukan terbaik di papan pendahulu DPC iaitu VGJ.Thunder, ia masih berjalan dengan meriah dan mempamerkan persembahan yang hebat terutamanya bagi pasukan Vega Squadron dan OpTic Gaming yang memperlihatkan peningkatan prestasi mereka.

Vega Squadron juga turut menyertai pasukan Optic menempa nama di papan pendahulu DPC selepas memperoleh tempat ketiga/keempat kejohanan. Pasukan itu dilihat semakin yakin dengan permainan mereka malah menjuarai peringkat kumpulan B yang dibarisi oleh pasukan NaVi, SG Esports dan Fnatic.

Bagi pasukan Fnatic pula, eksperimen mereka dengan meletakkan jurulatih pasukan itu, Adam 343 mengantikan Pieliedie dilihat berakhir dengan kegagalan. Kekalahan pasukan tersebut ditangan Optic dan Vega menerima kritikan peminat terutamanya selepas mereka memperoleh kedudukan 4 terbaik pada kejohanan Major ESL One Katowice. Adam sendiri menerusi laman Twitter beliau mengesahkan bahawa beliau akan kembali ke posisi jurulatih pasukan.

Dikuasakan oleh Blogger.