PUBG Corp Bakal Anjur Kejohanan Rasmi Pertama Mereka Dengan Hadiah Menghampiri RM8 Juta

PUBG Corp diumumkan bakal menganjurkan kejohanan rasmi pertama mereka pada bulan Julai ini dengan hadiah sebesar USD2,000,000 (~RM7,798,000). Kejohanan yang diberi nama sebagai PUBG Global Invitational 2018 itu bakal mempertandingkan 20 pasukan terbaik dari seluruh dunia.

Ia bakal berlangsung pada 25 sehingga 27 Julai kelak di Berlin, Jerman. Beberapa pusingan kelayakan akan diadakan di rantau rantau utama iaitu di Amerika Utara, Asia dan Eropah. Sebagai acara rasmi pertama mereka, kejohanan ini juga dilihat bakal menjadi titik ukur bagi para peminat untuk melihat sejauh mana pengalaman menonton telah diperbaiki oleh PUBG Corp.

Tahun lalu, permainan ini menerima kritikan ramai apabila kejohanan yang diadakan dilihat tidak menawarkan pengalaman menonton yang baik kepada peminat. PUBG Corp sendiri menyatakan bahawa mereka bekerja keras mencari solusi dan memperbaiki perkara tersebut pada pelan perancangan tahun 2018 mereka.

Dengan bilangan pemain sehingga 100 orang untuk setiap perlawanan, mendapatkan momen tepat ketika aksi sedang berlangsung terbukti amat sukar untuk dilakukan. PGL PUBG Spring Invitational yang berlangsung pada bulan Mac lalu sendiri menyediakan strim khas bagi setiap pasukan bagi memastikan para peminat dapat mengikuti setiap aksi dari pasukan kegemaran mereka.

Sumber : Polygon

Dikuasakan oleh Blogger.