Kerajaan Negeri Mahu Peruntuk Hadiah Lebih Lumayan Untuk Selangor Cyber Games 2018

Sambutan menggalakkan setiap tahun nampaknya menjadi pendorong utama Kerajaan Negeri Selangor untuk terus melibatkan diri di dalam arena e-sukan tempatan. Selangorkini melaporkan bahawa Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amiruddin Shari pada acara perasmian  Selangor Mobile Legend, di SACC Mall tempoh hari berkata bahawa kerajaan negeri akan memberikan hadiah yang lebih lumayan pada penganjuran Selangor Cyber Games 2018.

Beliau berkata bahawa kerajaan negeri menghargai golongan anak muda yang meminati e-sukan dan mahu membantu mereka mengetengahkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Sambutan yang menggalakkan juga menyebabkan kerajaan negeri merancang untuk membuka lebih banyak penyertaan kepada kesemua rakyat seluruh negara pada acara itu yang dijangka akan berlangsung pada bulan Ogos kelak.

Pada anjuran tahun 2017 lalu, Selangor Cyber Games yang diadakan serentak dengan pusingan akhir The Legends Circuit telah mempertandingkan beberapa permainan e-sukan seperti Dota 2, League of Legends, FIFA Online 3 dan Tekken 7. Acara yang berlangsung di Paradigm Mall, Petaling Jaya itu telah menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM180,000.


Sumber : SelangorKini 

Dikuasakan oleh Blogger.