Kesatuan E-sukan Antarabangsa Mengumumkan Permainan Yang Terpilih Bagi Kejohanan E-sukan Dunia Busan 2017

Foto : IeSF

Kesatuan E-sukan Antarabangsa (International e-Sports Federation - IeSF) pada 8 Ogos lalu telah mengumumkan tiga permainan yang terpilih untuk dipertandingkan pada kejohanan E-sukan Dunia ke-9 di Busan (Esports World Championship BUSAN 2017).

Tiga permainan yang terpilih tersebut adalah Counter Strike : Global Offensive, League of Legends dan Tekken 7. Ini merupakan kali kedua bagi CS:GO dan kali keempat permainan Leage of Legends terpilih untuk kejohanan ini. Permainan Tekken 7 pula dipilih untuk kali pertama bagi menggantikan permainan Tekken Tag Tournament 2.

IeSF turut sama mengumumkan bahawa sesi pendaftaran pertama telah tamat dengan memperlihatkan seramai 455 peserta dari 39 negara telah mendaftar. Sesi kedua pendaftaran pula diumumkan akan dibuka sehingga 18 September ini dan kesemua penyertaan peserta akan dimuktamadkan melalui sesi kelayakan yang akan diadakan oleh kesatuan bagi setiap negara. Setiap peserta yang terpilih kemudiannya akan mewakili negara mereka secara rasmi.

Lebih 37 negara telah menyertai kejohanan ke-8 yang berlangsung di Jakarta pada tahun lalu dengan Korea Selatan menjadi pemenang utama kejohanan. Kejohanan E-sukan Dunia ke-9 ini pula akan diadakan pada 9 sehingga 12 November ini bertempat di International Passenger Terminal Convention Center, Busan, Korea Selatan.


Sumber : IeSF
Dikuasakan oleh Blogger.