GAB Beri Kenyataan Tentang Keputusan Valve Gugur Status Major Kejohanan Galaxy Battles II

Awal hari ini Valve memberikan kejutan kepada peminat dan komuniti Dota 2 selepas mengumumkan bahawa kejohanan Galaxy Battles 2 telah digugurkan status daripada Dota 2 Pro Circuit dan kini bukan lagi kejohanan berstatus major.

Namun begitu Valve tidak menyatakan secara terperinci mengenai keputusan mereka mengugurkan status berkenaan dan hanya menyatakan bahawa terdapat polisi baru di negara Filipina yang menyebabkan mereka berada tidak selesa untuk mengadakan kejohanan di sana.

Desas desus kemudiannya berterbangan mengatakan bahawa keputusan Valve tersebut adalah akibat daripada polisi baharu yang mewajibkan pemain untuk melakukan ujian penyalahgunaan dadah sebelum dibenarkan bermain di negara tersebut.

Philipines Games and Amusements Board (Lembaga Sukan dan Permainan Filipina, GAB), badan kerajaan yang memantau industri e-sukan di negara Filipina kini tampil dengan kenyataan mereka berkenaan isu tersebut.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu, selepas mengiktiraf e-sukan sebagai salah satu cabang rasmi sukan pada bulan Julai tahun lalu, e-sukan kini adalah terikat dengan undang undang dan peraturan yang hampir sama dengan sukan tradisional.

Pemain yang berhasrat untuk bertanding di Filipina perlu memohon permit lesen khas bagi membolehkan mereka bertanding di negara tersebut. Untuk mendapatkan permit lesen yang sah selama setahun tersebut, pemain harus melakukan ujian penyalahgunaan dadah.

Menurut kenyataan tersebut, GAB pada ketika ini hanya melarang dua jenis dadah iaitu syabu dan ganja (weed). Undang undang ini adalah selari dengan permainan permainan sukan tradisional lain yang berada di bawah penguasaan GAB. GAB mengakhiri kenyataan mereka dengan menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah untuk memastikan bahawa kejohanan dan pertandingan yang berlangsung di Filipina adalah telus dan beretika.

Menurut, Scantzor, personaliti Dota 2 terkenal di Asia Tenggara, ramai pemain dan personaliti terutamanya yang berasal dari negara barat  terlibat menghisap ganja. GAB dan Valve sendiri dilihat gagal memaklumkan perkara ini kepada kesemua pemain terlebih awal bagi membolehkan mereka membersihkan diri daripada penggunaan ganja tersebut. 

Dengan kejohanan tersebut yang semakin hampir tiba, keputusan Valve mengugurkan kejohanan tersebut daripada Dota 2 Pro Circuit dilihat tepat oleh sesetengah pihak. Dengan beberapa berita bahawa kerajaan Filipina menghukum pengedar dadah secara ekstrem beberapa tahun kebelakangan ini, Valve juga berkemungkinan besar tidak mahu merisikokan pemain dan penganjur untuk terlibat dengan isu dadah tersebut.

Sumber foto : Paolo Muerte

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.