Permainan PlayerUnknown's Battlegrounds Akan Tiba Di Xbox One 12 Disember Ini

Pada acara Paris Games Week hari ini, pembangun permainan PlayerUnknown's Battlegrounds telah mengesahkan bahawa versi Xbox untuk permainan tersebut akan tiba pada 12 Disember ini. Permainan tersebut akan memasuki program preview permainan Xbox dengan tanda harga USD29.99 (SGD 39.90).

Permainan hangat ini akan hadir dengan sokongan HDR dan kemudiannya akan menyokong paparan 4K pada masa akan datang. Versi Xbox ini juga akan hadir dengan mod permainan sudut pandang ketiga bagi permainan solo, berpasangan dan berpasukan.

Ia juga akan disertakan dengan mekanik terbaru untuk memanjat dan melompat yang akan dilancarkan pada versi pc pada minggu ini. Bagi peta gurun pula, ia hanya akan tiba pada kemudian hari selepas ianya diuji secara mendalam pada versi pc. 

Di acara Paris Games Week ini juga, pengarah kreatif permainan itu, Brendan "PlayerUnknown" Greene telah mengumumkan bahawa permainan itu telah terjual melebihi 18 juta salinan. Beliau turut sama memaklumkan bahawa pelan pelancaran rasmi versi pc mereka masih mengikut jadual dan berkemungkinan besar permainan PUBG versi pc ini akan berjaya dilancarkan secara rasmi pada hujung Disember ini.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.